Langkau ke kandungan utama

Aksesori pelengkap lanskap taman



Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@nstp.com.my


BUNGA pelbagai warna dengan bangku klasik mengindahkan landskap taman.
Bangku panjang, pintu gerbang besi berwarna putih melengkapi konsep Inggeris

MENERAP gaya Inggeris dalam dekorasi taman sememangnya sukar, apatah lagi dengan keadaan cuaca di negara ini yang tidak memungkinkan semua jenis bunga dari negara beriklim empat musim terutama mawar, tulip dan lavender hidup subur.

Bagaimanapun, bagi penggemar gaya kolonial Inggeris, tidak perlu gusar kerana masih ada pelbagai cara boleh digunakan untuk mengubah rupa laman kelihatan indah umpama taman larangan istana purba di England.

Pengarah Pemasaran Alam Bina Sdn Bhd, Taufiq Dang, berkata selain penggunaan bunga-bungaan, gaya Inggeris menitik beratkan penerapan perabot dan aksesori berciri klasik dan berlatarkan warna putih dengan lukisan bunga mawar padanya.

"Sukar untuk menjaga bunga mawar hidup. Mungkin lumrah, sesuatu yang cantik dan harum sememangnya manja serta memerlukan sepenuh perhatian. Mawar perlukan cahaya matahari yang banyak tapi tidak boleh disiram terlalu kerap.

"Justeru, penerapan gaya Inggeris untuk kediaman tempatan biasanya banyak bermain dengan aksesori seperti penyiram bunga, sangkar burung dan plak bercorak Inggeris bertulis perkataan 'Welcome' atau 'Home Sweet Home'," katanya kepada Berita Minggu ketika ditemui di pejabatnya di Ampang Tambahan, dekat sini.
AKSESORI sangkar burung diminati ramai.
Manakala bangku panjang dan pintu gerbang daripada besi atau kayu berwarna putih antara pelengkap dekorasi taman berkonsepkan gaya Inggeris.

Begitu juga dengan penggunaan pagar hiasan berwarna putih yang sepadan gaya Inggeris. Selain praktikal dan mampu mencantikkan ruang, pagar ini juga boleh digunakan untuk membezakan jenis tanaman di taman mengikut kumpulannya.

Taufiq berkata, jika laman mempunyai keluasan yang sesuai, pereka landskap biasanya akan mencadangkan supaya dibina sebuah kolam dengan saiz sederhana kerana ia antara ciri taman Inggeris.

"Di negara ini konsep Inggeris asli sebenarnya banyak mengalami transformasi seiring dengan keadaan semasa terutama cuaca. Penggunaan kolam selain sebagai pelengkap juga sesuai dijadikan tempat takungan untuk aliran air hujan bagi mengelakkan air bertakung dan merosakkan tanaman seperti mawar.
PATUNG orang kerdil menaikkan seri taman.
" Transformasi turut berlaku dalam binaan pergola yang digantikan dengan binaan wakaf daripada cengal beratap genting. Itu sebenarnya nilai tradisi Melayu tapi boleh diolah misalnya dengan cat putih atau krim," katanya.

Katanya, pelengkap sesebuah taman adalah pada pokok hiasan. Tumbuhan hidup boleh juga diganti dengan bunga plastik atau kain. Namun untuk memperlihatkan keasliannya, taman Inggeris boleh dipenuhkan dengan pepohon hijau dan bunga-bungaan yang sesuai dengan iklim Negara ini seperti Helicornea, balung ayam, seroja atau bunga kertas.

INFO
Tip membina taman sendiri
·  Sebelum membina sebuah landskap berkonsep di laman anda, pastikan ia selari dengan konsep keseluruhan kediaman. Ia penting supaya corak yang selari dapat membentuk perasaan dan pemandangan harmoni. Ada pelbagai pilihan landskap sesuai dengan iklim dan persekitaran negara kita misalnya Bali, oriental, Jepun atau Melayu.
·  Ketika membuat keputusan membina landskap menggunakan pokok atau bunga-bungaan, susun mengikut ketinggian. Pokok paling tinggi perlu ditanam di belakang, sederhana tinggi di tengah dan renek pada bahagian luar atau hadapan. Kebaikannya adalah bagi membolehkan tanaman itu jelas dilihat.
·  Elemen binaan adalah pelengkap dalam landskap dan ia dipanggil landskap kejur. Contohnya adalah seperti pagar, pergola, kanopi, patio atau gazebo. Pemilihan landskap kejur menjadi trend ketika ini kerana fungsinya adalah menambahkan keunikan taman selain menjadi tempat untuk beristirehat seisi keluarga.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tip: Jenis pencahayaan di taman

TIGA jenis pencahayaan yang biasanya digunakan dalam mencapai impak menarik dalam sesebuah taman. Sungguhpun demikian jenis dan teknik penggunaan lampu taman bergantung kepada kesesuaian reka bentuk sesuatu taman. Ia lebih kepada tujuan mendapatkan ‘mood’ dan mengubah perspektif di taman pada malam hari. ‘Spotlighting’ Jenis lampu dan pencahayaan yang terang adalah untuk dijadikan sebagai sumber cahaya bagi memfokus sesuatu binaan atau feature structure seperti arca atau kolam yang mempunyai air pancut. Selain itu ia biasa digunakan bagi mendapatkan pencahayaan menyeluruh dalam taman. Namun, posisi jenis lampu perlu diteliti kerana kekuatan cahaya yang dipancarkan juga akan mewujudkan rasa ketidakselesaan bila berada di taman. ‘Uplighting’ Ada pelbagai jenis di pasaran dan sangat popular di kebanyakan taman. Jenis ini biasanya digunakan untuk mendapatkan kesan bayangan terutama jika dipancarkan kepada pokok dari bawah atau dipasang pada dahan pokok besar (pokok jenis te...

Lili air mudah dijaga

TERATAI tumbuhan penghias kolam paling mendapt sambutan. TERATAI yang turut dikenali sebagai pokok lili air adalah tumbuhan terbiar yang mempunyai nilai komersial apabila digunakan untuk menghiasi taman yang mempunyai kolam. Tumbuhan ini lazimnya mampu hidup subur pada paras suhu tidak melebihi 20 Celsius. Bahang matahari yang terlalu panas boleh menyebabkan tumbuhan itu layu dan terbantut. Bagaimanapun, kebanyakan pemilik taman tempatan yang mempunyai kolam buatan atau semula jadi kurang mendalami teknik penanaman mengikut keperluan dan kesesuaiannya. Malah sesetengah pemilik taman menganggap tidak berkemampuan untuk memiliki baka teratai apabila mendapati harga setiap pokok yang diimport agak mahal. Tentunya amat sukar untuk menanamnya bagi memenuhi ruang kolam yang luas. Penanaman teratai menjadi suatu kemestian untuk menghiasi setiap kolam yang dibina di halaman rumah penduduk di Kemboja, Vietnam dan Thailand. Ia seolah-olah melambangkan tr...