Langkau ke kandungan utama

Kenali ulam: Pucuk gajus, terung bulu, penyedap rasa masakan




BIJI gajus makanan kudapan popular.
Janggus
Anacardium occidentale
Famili:
Anacardiaceae
Nama Lain: Gajus, Jambu golok, Jambu monyet, Ketereh

POKOK gajus berasal dari Brazil dan diperkenalkan orang Portugis ke Melaka melalui Goa. Kini pokok gajus ditanam di sekitar negara tropika, terutama India.

Pokok gajus tergolong dalam famili Anacardiaceae. Tingginya kira-kira 10 hingga 12 meter dan silaranya rendang terbuka dengan daunnya malar hijau. Ketika muda daunnya berwarna merah keunguan.

Bunganya banyak, kecil dan hermafrodit, berwarna putih kemerahan pada bulir (bahagian bijirin) sepanjang 20 hingga 25 sm. Buahnya berbentuk buah pinggang, 3 sm panjang dan 1.2 sm lebar. Kulitnya keras, berwarna hijau atau keperangan, mengandungi testa berwarna perang kemerahan dan dua kotiledon serta embrio yang kecil.

Buah ini tergantung pada pedisel yang membesar seperti buah jambu, berwarna hijau bertukar menjadi kuning atau merah apabila masak, berjus dan rasanya kelat-kelat manis. Pedisel yang membesar seperti buah Jambu ini sering dianggap sebagai buah. Sebenarnya ia tidak berfungsi sebagai buah.

Masyarakat Melayu menanam pokok gajus kerana keunikan bentuk buahnya, sehingga menjadi teka teki " Apa buah bijinya di luar" Penanaman secara perladangan juga diusahakan di Pantai Timur Semenanjung tetapi tidak menghasilkan buah yang baik.

TERUNG bulu penyedap rasa masakan tradisional Melayu.
Resipi laksa tidak lengkap jika tidak dicampur dengan pucuk gajus. Keenakan laksa timbul kerana campuran pucuk gajus. Pucuk gajus juga ulam yang digemari masyarakat desa. Pucuk yang masih muda dicolek dengan sambal udang kering dan dimakan di samping nasi. Kanak-kanak juga gemar memakan buahnya, sama ada dimakan segar atau dicicah dengan kicap.

Biji gajus yang diproses adalah makanan kudapan popular. Selain itu, biji gajus penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional seperti nasi minyak, beriani dan dalca.

Biji gajus mengandungi khasiat makan yang tinggi. Dalam tiap-tiap 100 gram (g) bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 4.9 g, protein 21.2 g, lemak 0.2 g, karbohidrat 4.5 g, serat 6.4 g, kalsium 43 miligram (mg), fosforus 35 mg, ferum 7.7 mg, natrium 20 mg, kalium 410 mg, vitamin A 51 ug, vitamin B1 0.67 mg, vitamin B2 0.1 mg, niasin 2.5 mg vitamin C 60 mg.

Buahnya pula, dalam tiap-tiap 100 g bahagian yang boleh dimakan mengandungi: air 88.6 g, protein 0.6 g, lemak 0.2 mg, karbohidrat 9.5 g, serat 0.8 g, kalsium 3 mg, fosforus 15 mg, ferum 0.3 mg, natrium 9 mg, karotena 35 ug vitamin A 5 ug, vitamin B1 0.02 mg vitamin B2 0.03 mg. niasin 2.5 mg vitamin C 140 mg
Pucuk mudanya mengandungi: air 89.0g, protein 3.8 g, lemak 0.2 mg, karbohidrat 4.5 g, serat 1.5 g, kalsium 53 mg, fosforus 29 mg, ferum 3.7 mg, natrium 7 mg, karotena 2076 ug vitamin A 326 ug, vitamin B1 0.0 mg vitamin B2 1.19 mg. niasin 0.5 mg vitamin C 91 mg

Pokok gajus mudah dibiakkan dengan cara menyemai biji benih. Percambahan mengambil masa yang lama. Bagi mendapatkan klon terpilih, cantuman mata tunas atau tunas boleh dilakukan. Penanamannya memerlukan tanah berpasir dan iklim panas bagi merangsang pengeluaran bunga dan buah.

Terung bulu
Solanum lasiocarpum
Famili:
Solanaceae
Nama Lain: Terung asam

Terung bulu atau terung asam adalah sayuran yang semakin dilupakan. Pada satu ketika, terung ini sering ditemui di desa, ditanam dalam konsep parak atau tanaman dapur. Buahnya penyedap rasa dalam masakan tradisional Melayu seperti masak lemak ikan darat atau kari.

Rasa masam terung ini, bukan saja dapat merangsang selera tetapi juga menghilangkan bau hanyir ikan darat. Tidak diketahui mengenai khasiat terung ini.

Batang pokok renek setinggi 60 hingga 90 meter ini agak besar dan tidak bercabang banyak. Daunnya bergaris bentuk bujur, bercuping yang tidak ketentuan bentuknya, kira-kira 10 hingga 40 sentimeter (sm) panjang dan 5 hingga 30 sm lebar. Batang, dahan dan urat daun berduri tajam. Bunganya berwarna putih keunguan. Buahnya globos, berbulu halus, 1.5 hingga 3 sm diameter, berwarna hijau dan bertukar kuning emas apabila masak dan berbiji banyak. Rasanya agak masam.

Terung ini mudah dibiakkan dengan cara semaian biji benih. Ia mudah hidupnya dan tidak memerlukan jagaan yang rapi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tip: Jenis pencahayaan di taman

TIGA jenis pencahayaan yang biasanya digunakan dalam mencapai impak menarik dalam sesebuah taman. Sungguhpun demikian jenis dan teknik penggunaan lampu taman bergantung kepada kesesuaian reka bentuk sesuatu taman. Ia lebih kepada tujuan mendapatkan ‘mood’ dan mengubah perspektif di taman pada malam hari. ‘Spotlighting’ Jenis lampu dan pencahayaan yang terang adalah untuk dijadikan sebagai sumber cahaya bagi memfokus sesuatu binaan atau feature structure seperti arca atau kolam yang mempunyai air pancut. Selain itu ia biasa digunakan bagi mendapatkan pencahayaan menyeluruh dalam taman. Namun, posisi jenis lampu perlu diteliti kerana kekuatan cahaya yang dipancarkan juga akan mewujudkan rasa ketidakselesaan bila berada di taman. ‘Uplighting’ Ada pelbagai jenis di pasaran dan sangat popular di kebanyakan taman. Jenis ini biasanya digunakan untuk mendapatkan kesan bayangan terutama jika dipancarkan kepada pokok dari bawah atau dipasang pada dahan pokok besar (pokok jenis te...

Lili air mudah dijaga

TERATAI tumbuhan penghias kolam paling mendapt sambutan. TERATAI yang turut dikenali sebagai pokok lili air adalah tumbuhan terbiar yang mempunyai nilai komersial apabila digunakan untuk menghiasi taman yang mempunyai kolam. Tumbuhan ini lazimnya mampu hidup subur pada paras suhu tidak melebihi 20 Celsius. Bahang matahari yang terlalu panas boleh menyebabkan tumbuhan itu layu dan terbantut. Bagaimanapun, kebanyakan pemilik taman tempatan yang mempunyai kolam buatan atau semula jadi kurang mendalami teknik penanaman mengikut keperluan dan kesesuaiannya. Malah sesetengah pemilik taman menganggap tidak berkemampuan untuk memiliki baka teratai apabila mendapati harga setiap pokok yang diimport agak mahal. Tentunya amat sukar untuk menanamnya bagi memenuhi ruang kolam yang luas. Penanaman teratai menjadi suatu kemestian untuk menghiasi setiap kolam yang dibina di halaman rumah penduduk di Kemboja, Vietnam dan Thailand. Ia seolah-olah melambangkan tr...