Langkau ke kandungan utama

BANJIR

SUMBER : SITI HALIMAH ISMAIL & KHAIRULMAINI OSMAN SALLEH
JABATAN GEOGRAFI, FAKULTI SASTERA & SAINS SOSIAL, UNIVERSITI MALAYA
BANJIR KILAT KUALA LUMPUR JUN 2007 – PUNCA, KESAN DAN PENGURUSAN

Banjir merupakan salah satu bencana alam yang serius dan sering berlaku dalam keamatan yang tinggi untuk satu tempoh banjir. Jenis banjir yang sering berlaku di Negara yang sekaligus memberikan impak yang tinggi adalah kejadian banjir kilat. Kejadian banjir kilat ini sukar di jangka dengan tepat dan amat membimbangkan banyak pihak. Hal ini berikutan iklim negara yang tidak menentu dan kejadian banjir kilat ini tidak lagi terhad berlaku pada musim tengkujuh sahaja iaitu antara pertengahan bulan Oktober hingga pertengahan bulan januari setiap tahun (Noor Ezlin Ahmad Basri, Sakinah Noordin & Shahrom Md. Zin). Di Kuala Lumpur, kejadian banjir telah direkodkan sejak 1929 lagi. Banjir kilat biasanya melanda di kawasan perumahan, perkampungan, kawasan yang sedang atau telah membangun dan jalan-jalan raya terutama sekali di kawasan-kawasan yang rendah yang terdapat di beberapa daerah.

Kejadian banjir yang di kenali sebagai banjir kilat ini merupakan banjir yang berlaku atau mengalir dengan cepat melimpah daripada tebing sungai dan tasik lalu menggenangi kawasan tanah yang bersebelahan sehingga mengakibatkan kerugian harta benda dan kemalangan jiwa yang besar. Keterdedahan masyarakat Kuala Lumpur terhadap banjir kilat ini adalah amat tinggi dan kira-kira lebih dua puluh kawasan terdedah kepada banjir kilat secara serius. Banyak yang menganggap bahawa proses pembangunan dan perbandaran yang tidak sesuai di atas dataran banjir itu sendiri sehingga menyumbang kepada perubahan system fizikal semulajadinya menjadi penyebab utama kepada berlakunya masalah banjir kilat ini. Kejadian banjir ini berkait rapat dengan system aliran semulajadinya. Contohnya di Kuala Lumpur terdapat dua batang sungai utama yang semakin pesat membangun di kawasan sekitarnya iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak. Sikap dan aktiviti manusia yang tidak mengambil berat tentang tuntutan alam sekitar akan menggamatkan lagi keadaan.

Banyak persepsi masyarakat terhadap pelan dan langkah pengurangan banjir oleh pihak-pihak tertentu berakhir dengan pengharapan yang sangat tipis yang mana setiap kali hujan akan berlakunya banjir. Ini kerana tiada langkah penyelesaian yang konkrit bagi mencegah, mengelak dan mengawalnya. Kini, Projek Terowong Bestari (SMART) dapat megurangkan sebahagian banjir yang berlaku di Kuala Lumpur dan langkah komprehensif iaitu Program Tebatan Banjir dan Kolam takungan air merupakan rancangan jangka panjang untuk mencegahnya bagi mengurangkan kos pembaikan apabila berlaku bencana untuk proses pemulihan dan menjaga nyawa masyarakatnya selain pengekalan dan pemuliharaan system semulajadi bumi yang tidak hanya terikat kepada pendekatan kejuruteraan semata-mata.


Text Box: KAWASAN KAJIAN


Kuala Lumpur merupakan Bandar metropolitan yang semakin pesat membangun di samping peningkatan penduduknya dari masa ke semasa.




Kini Kuala Lumpur menjadi kawasan paling sensatif dengan banjir. Ini berikutan daripada catatan dan rekod banjir kilat yang pernah berlaku di Kuala Lumpur merupakan satu kawasan kejadian banjir yang paling besar dan kerap berlaku sejak awal 1970 an yang pernah di rekodkan di Negara ini yang telah melibatkan sekurang-kurangnya lebih daripada tiga puluh kawasan banjir . Ini merupakan rekod kejadian banjir kilat yang paling membimbangkan Negara yang mana menjadi pusat penggerak kepada system pembangunan dan perbandaran di Negara ini. Di katakan bahawa bahawa tahun 1971 merupakan banjir paling besar yang direkodkan di Kuala Lumpur manakala dalam tahun alaf baru ini tahun 2007 merupakan rekod banjir kilat yang paling buruk di rekodkan berbanding banjir kilat yang berlaku pernah berlaku pada tahun 2003.

Kejadian banjir kilat di Kuala lumpur ini telah mula direkodkan pada tahun 1929 lagi seterusnya tahun 1949, 1980 an (1982, 1986 dan 1988), 1990 an (1993,1995, 1996 dan 1997), 5 Januari 1971, 22 Mac, 30 April dan 19 Desember 2000, 26 April dan 20 Oktober 2001, 11 Jun 2002, 10 Jun 2003, 6 April 2006 dan 10 Jun 2007 baru-baru ini. Namun begitu, tumpuan di berikan pada kejadian banjir kilat Kuala Lumpur pada Jun 2007 baru-baru ini.

 Kejadian banjir kilat ini berkait rapat dengan kedudukan sungai utama yang terdapat di Kuala Lumpur iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak. Kuala Lumpur terdapat dua empangan telah dibina, iaitu Empangan Klang Gate dan Empangan Batu. Sungai Klang dan beberapa buah sungai utama sepeti Sungai Gombak, Sungai Batu dan lain-lain.

Text Box: METODOLOGI :


1) Data Primer :        
            Selain melalui pembacaan, data dan maklumat juga diperolehi dan dikumpulkan melalui orang perseorangan, syarikat-syarikat, agensi-agensi atau pihak-pihak tertentu. Data atau makluman yang diperolehi melalui pelbagai kaedah ini seperti pemerhatian, soal selidik, temu bual, melakukan pengukuran di kawasan lapangan atau makmal dan sebagainya. Data yang diterima akan dikumpulkan sebelum di analisis bagi mendapatkan jawapan atau keputusan. Data yang di kutip di lapangan ini adalah berdasarkan kepada objektif bidang kajian tersebut.

Data yang terdiri daripada sampel-sampel kajian ini akan mewakili populasi melalui kaedah analisis yang mana data diproses dengan menggunakan kaedah stastistik. Setelah data dikumpul ia akan mengalami proses pengklasifikasian sebelum data dipersembahkan dan menerangkan maksud persembahan data tersebut. Contohnya data boleh dipersembahkan dalam bentuk statistik diskriptif atau statistik hasilan. Data diskriptif adalah diterjemahkan sebagai ukuran kecenderungan tengah, serakan data dan peratusan. Manakala data hasilan merupakan teknik pengolahan nilai yang diperolehi daripada data diskriptif. Data akan dilukis secara grafik yang mana ia menunjukkan kesimpulan tentang ciri-ciri populasi yang dikutip berdasarkan sampel yang dipilih sekaligus dapat menerangkan data yang ringkas dan mudah difahami. Ia boleh ditunjukkan dengan graf, carta pai, kelok dan sebagainya. 

2) Data Skunder:      
            Pengkaji telah memilih untuk mengumpulkan maklumat dengan menggunakan data skunder yang mana data ini dilihat secara ilmiah tentang maklumat yang berkaitan secara umum khususnya berhubung dengan kenyataan dan hipotesis yang pernah dikeluarkan oleh pengkaji lain. Ini kerana perbandingan dan pengolahan terhadap maklumat yang diperolehi akan dilakukan sebelum mengeluarkan keputusan oleh pengkaji bagi menunjukkan kesahihan makluman tersebut dalam hasil penyelidikan. Proses ini juga penting dalam menjawab segala persoalan berdasarkan kepada objektif kajian. Bahan bacaan seperti laporan, tesis, jurnal, majalah dan peta yang mana ia dirujuk dari Perpustakaan Utama Universiti Malaya, Perpustakaan dan Makmal Peta Jabatan Geografi, Agensi kerajaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),Dewan Bandaraya Kuala lumpur (DBKL), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Meteorologi Malaysia, keratin-keratan akhbar dan sebagainya.

Text Box: PUNCA-PUNCA BANJIR KILAT :


Kejadian banjir kilat baru-baru ini telah melibatkan beberapa kawasan perumahan, jalan-jalan raya dan berhampiran dengan sungai dan tasik. Sejak banjir kilat di rekodkan sejak 1929 dahulu mempunyai beberapa factor. Walaupun banyak yang menganggap bahawa factor utama banjir kilat adalah di sebabkan oleh proses pembangunan dan perubahan cuaca pada keseluruhannya, namun perlu disedari bahawa perubahan fizikal yang berlaku kini perlu di fikirkan dan di teliti sebaiknya yang mana proses perbandaran, pembangunan dan pertambahan penduduk dunia yang semakin pesat akan memburukkan lagi keadaan sekiranya tidak mengambil kira kemampanan alam sekitar itu sendiri. Antara factor-faktor yang di kenalpasti sehingga berlakunya banjir kilat pada Jun 2007 ini adalah :

1)     Faktor Semulajadi :

Factor semulajadi ini boleh di lihat dari pelbagai aspek. Oleh kerana banjir kilat berlku dalam keamatan yang tinggi ia memberikan beberapa factor semulajadi yang terlibat sehingga membawa hujan yang lebat dalam tempoh yang singkat sehingga mampu menenggelamkan kawasan tertentu dengan cepat. Menurut data dari Jabatan Meteorologi Malaysia (2007), apabila berlakunya perubahan monsoon yang sudah tidak mengikut musimnya seperti banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2007 baru-baru ini mengalami hujan lebat disertai ribut petir dan angin kencang. Walaupun Negara mengalami monsoon barat daya tetapi tiupan angin begitu lemah menggalakkan pembentukan kelompok awan hujan terutama pada waktu petang. Hujan yang hanya berlaku dalam tempoh 3 jam (6.00 petang hingga 9.00 malam) itu telah mencatatkan jumlah hujan yang diterima telah mencapai tahap maksimum daripada biasa iaitu sebanyak 720 mm berbanding dengan 500mm-550mm dengan kedalaman air 1.8 meter hingga 3 meter. Peningkatan secara mendadak kepada 720 mm daripada 520mm pada jam pertama. Bacaan yang direkodkan di setiap stesen meteorology mencatatkan bacaan melebihi 50mm pada hari tersebut.

Jadual 1:  Jumlah Hujan (mm) dalam tempoh 24 jam bagi Stesen Meteorologi
      Petaling Jaya, Subang dan KLIA, Sepang pada 10 Jun 2007
Masa
Petaling Jaya
(mm)
Subang
(mm)
KLIA, Sepang
(mm)
6.00 petang
0.0
0.0
0.0
7.00 malam
0.0
0.0
1.2
8.00 malam
1.2
0.0
0.2
9.00 malam
28.8
13.4
3.2
10 malam
6.4
6.6
3.8
11.00 malam
0.2
1.2
0.2
Jumlah Hujan (mm)
37.4
24.8
8.6
 (Sumber ; Jabatan Meterologi Malaysia, 2007)

 Jadual 1 menunjukkan jumlah hujan yang direkodkan dari Stesen Meteorologi dari tiga stesen di kawasan berlakunya banjir kilat yang mana jumlah hujan paling lebat (peak) pada jam 9.00 malam dengan catatan 28.8 mm (Petaling Jaya), 13.4 mm (Subang) dan 3.2 mm (KLIA). Peningkatan yang mendadak di catatkan dalam tempoh 24 jam.

Dengan jumlah intensity hujan yang maksimum ini sudah tentu mampu memberikan impak yang besar kepada keadaan fizikal yang sedia ada yang mana tidak dapat menampung penerimaan hujan yang banyak untuk tempoh masa yang singkat. Kenaikan paras air sungai ini akan menenggelamkan kawasan yang lebih rendah sekaligus  melumpuhkan sistem perparitan dan berlaku penyempitan sungai. Contohnya aliran air sungai dari kawasan tadahan Ampang/ Ulu Klang di bahagian hulu Kuala lumpur menyebabkan tekanan yang tinggi kepada Sungai Klang lalu melimpah ke tebing dan membanjiri sebahagian kawasan rendah pusat Bandar seperti Kampung Pandan, Kampung Baru, Kampung Chupadak dan sebainya serta jalan-jalan utama seperti Jalan Tun Perak, Jalan Dang Wangi, Jalan Ipoh dan sebagainya. Walaupun ada yang mengatakan bahawa banjir kilat yang berlaku ini di sebabkan oleh berlakunya fenomena perubahan iklim dan pemanasan global seperti banjir yang berlaku pada 1998 yang disebabkan oleh fenomena La Nina.

2)     Aktiviti Manusia :

Selain itu juga, peningkatan penduduk yang semakin meningkat di Kuala Lumpur dari masa ke semasa menggalakkan kepada aktiviti manusia yang semakin aktif. Kebanyakan perubahan yang begitu ketara dari segi penerimaan jumlah hujan dan perubahan iklim yang berlaku ini di sebabkan oleh aktiviti manusia itu sendiri. Hampir kesemua rekod banjir kilat yang pernah di laporkan di Kuala Lumpur berkait rapat dengan manusia itu sendiri.
FOLLOW-UP BANJIR KILAT DI KUALA LUMPUR
Gambar : Seorang petugas alam flora membersihkan sampah sarap yang terperangkap pada saluran paip akibat banjir kilat yang melanda bandaraya kuala lumpur

Kajian banjir kilat yang di lakukan pada 2000-2001 mendapati bahawa punca berlakunya banjir kilat di Kuala Lumpur adalah di sebabkan oleh pembangunan yang semakin pesat tanpa kawalan alam persekitaran. Perancangan bandar yang kurang memuaskan dan kerja-kerja ringan memburukkan lagi keadaan (Khairulmaini Osman Salleh, 2004). Selain itu juga, manusia terlibat secara langsung dalam pembuangan sampah sarap yang berleluasa ke dalam sungai dan system perparitan terutama di Sungai Klang dan Sungai Gombak. Ini menunjukkan bahawa sikap manusia yang kurang prihatin dan tahap kesedaran sivik yang rendah terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Gambar 1 : Tiang-tiang stesen STAR-LRT dan pembinaan jambatan.

Gambar di atas menunjukkan salah satu contoh pembangunan infrastruktur yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah hujan yang luar biasa menjadi halangan utama kepada keupayaan air sungai di kawasan pusat Bandar dan seterusnya peningkatan paras air sungai melimpah keluar dan membanjiri kawasan lain. Contohnya situasi ini dapat di lihat berlaku di Sungai Klang yang mana tiang stesen STAR – LRT yang terletak di dalam sungai dan sebuah jambatan iaitu jambatan Kinabalu menjadi halangan kekal yang memburukkan lagi keadaan pengaliran air hujan di sungai akibat perubahan struktur di dalam rizab sungai.
 






 






Gambar 2: Kedudukan laluan yang rendah menghalang pengaliran air.

Terdapat beberapa kawasan berhampiran sungai telah dibangunkan dengan bangunan-bangunan atau binaan yang besar dan kekal. Sistem perparitan yang tidak sempuna juga menyumbang kepada berlakunya bencana alam ini.

Text Box: KESAN-KESAN BANJIR KILAT :



Banjir kilat merupakan salah satu bencana alam yang memberikan kesan dan dampak yang besar. Tahap keseriusan banjir adalah melihat kepada besar atau kecilnya keadaan banjir itu dan biasanya ia di ukur berapa besarnya kesan yang di alami. Semakin besar kesan yang diterima maka ia menunjukkan keseriusan yang tinggi dan sebaliknya. Dengan keamatan yang tinggi yang berlaku tanpa disedari dan walaupun mengambil masa yang singkat sahaja namun dalam sekelip mata kerugian dan kerosakan yang ditanggung adalah sangat besar.

Antara kesan-kesannya adalah berlakunya kemusnahan harta benda dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Akibat berlakunya kejadian banjir kilat ini yang pernah di rekodkan di Kuala Lumpur melaporkan anggaran kos kerugian yang tinggi dari tahun demi tahun setiap kali berlakunya banjir kilat ini. Bencana banjir akan menjadi cirri-ciri kritikal dalam kehidupan penduduk di kawasan rendah di mana density populasi meliputi 60 per hektar dan kesan bencana adalah amat serius (Khairulmaini Osman Salleh, 2004). Contohnya pada tahun 1971 mangsa banjir yang terlibat adalah seramai 180,000 orang dan di anggarkan mengalami kerugian lebih RM35 juta. Dilaporkan oleh media bahawa seramai 5 orang terkorban dalam kejadian banjir kilat di Kuala lumpur baru-baru ini akibat terperangkap dalam banjir tersebut. Banyak juga kenderaan dan kelengkapan yang rosak.

Akibat pembangunan yang pesat, melalui system perparitan tidak di kendalikan dengan baik maka tiada system pengaliran air yang sempurna. Banyak lapisan konkrit yang menggalakkan kepada aliran air terus dan deras tanpa di serap di dalam tanah di tambah lagi dengan ketiadaan pokok sebagai system sokongan bagi tanah.
Permukaan berturap dan berkonkrit menggalakkan aliran permukaan dengan kadar yang cepat.
 
Hujan yang turun menyerap masuk ke dalam tanah sebelum sampai ke sistem sungai
 

Oleh yang demikian, ia menggalakkan berlakunya tanah runtuh dengan seperti yang berlaku di Jalan Duta dan runtuhan jalan seperti yang berlaku pada banjir kilat 10 Jun 2007 yang lalu. Selain itu juga, aktiviti manusia akan tergendala kerana hubungan terputus akibat jalan-jalan utama seperti Jalan Ipoh, Jalan Dang Wangi, Jalan Masjid Jamek, Jalan Klang Lama, Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan sebagainya di genangi oleh air mengakibatkan laluan tersebut terpaksa di tutup untuk trafik. Oleh yang demikian berlakunya kesesakan lalulintas di jalan utama. Aktiviti lain seperti sector pertanian, perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan terpaksa di tangguhkan akibat banjir kilat dan ini memberikan kerugian kepada mereka.

Text Box: LANGKAH  PENGAWALAN BANJIR KILAT :


Langkah kawalan terhadap banjir kilat perlu di laksanakan secara bijak, efisyen dan menyeluruh pada masa kini yang mana ia mesti mengambil kira alam persekitaran yang bukan sahaja mengambil kira pendekatan kejuruteraan semata-mata.
Gambarajah di atas menunjukkan bahawa komponen-komponen yang terdapat di dalam satu system pengurusan sungai. Ini penting dalam melaksanakan integrasi dan kerjasama antara pelbagai pihak bagi mengurusakan system pengairan berkenaan.
Oleh itu, perancangan untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang perlu dirangka agar langkah persediaan dan pengawalan dapat dilaksanakan. Ini termasuklah sebelum dan selepas banjir berlaku serta langkah kecemasan semasa banjir berlaku. Ini penting kerana kejadian banjir kilat ini berlaku tanpa di jangka dan tidak mengikut musimnya. Pemahaman tentang bagaimana dan di mana banjir boleh berlaku dan berapa yang boleh menyebabkan kerugian perlu bagi mengenalpasti dan membuat perancangan bagi mengawal bencana tersebut.

Setelah melihat kepada kejadian banjir kilat yang berlaku pada 10 Jun 2007 yang lalu di Kuala Lumpur iaitu sebagai pusat pembangunan di Negara ini yang mana antara kejadian banjir kilat yang paling buruk pernah berlaku telah membuka mata banyak pihak dan mula menimbulkan rasa bimbang banyak pihak dan masyarakat itu sendiri. Langkah-langkah bagi mengawal banjir terdiri daripada langkah struktur dan bukan struktur.

Langkah – langkah bukan struktur yang boleh dipertingkatkan dari segi keefisyenannya dan keberkesanannya melalui peningkatan teknologi (World Meteorological Organisation, 1989). Antaranya adalah :

1)     Menaiktaraf system ramalan dan amaran banjir.

Oleh kerana, kejadian banjir kilat kerap berlaku di Kuala Lumpur tanpa di luar jangkaan maka system ramalan dan amaran banjir perlu di perluaskan dan di naik taraf iaitu satu jam lebih awal sekurang-kurangnya sebelum banjir dijangka berlaku agar masyarakat di kawasan-kawasan tertentu dapat bersedia dengan lebih awal, meningkatkan persediaan bilik gerakan dan mengurangkan kos kerugian dan kerosakan yang terpaksa di tanggung.
 

Selain itu juga, bagi langkah struktur beberapa aspek perlu di ambil kira termasuklah persekitaran yang sesuai tanpa memberikan kesan atau gangguan kepada kawasan tersebut. Antara langkah-langkah pengawalannya termasuklah :

1)     Melebar dan mendalamkan sungai.

Langkah ini adalah untuk menampung lebih banyak kapasiti air hujan yang diterima. Ini dapat mengurangkan dan melambatkan air yang mengalir di dalam sungai untuk melimpah keluar ke tebingnya.

2)     Mengurangkan pergolakan air di kuala iaitu antara Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Pergolakan air yang kuat  berlaku apabila dua batang sungai bertemu di satu sudut terutama sekali mengurangkan aliran air dan keputusan ini mendapati bahawa ia akan melimpah di kawasan tebingnya. Pergolakan ini boleh di kurangkan dengan membina cerucuk tembok konkrit di tengah-tengah Sungai Klang iaitu 400 meter dari hilir Masjid Jamek. Ini kerana tembok tersebut akan memastikan bahawa aliran air daripada kedua-dua sungai tidak akan bertemu sehingga alirannya adalah selari. Ini dapat mengurangkan golakan dan mengalami kelajuan yang rendah sekaligus tidak akan memberikan kesan yang besar kepada sungai tersebut apabila berlakunya hujan yang lebat.

Gambar : Terusan lencongan antara Sungai Gombak dan Sungai batu bagi mengurangkan tekanan aliran sungai.












Gambarajah menunjukkan laluan bagi pintasan/lencongan banjir antara Sungai Klang dan Sungai Gombak.

3)     Musnahkan sebarang penghalang yang melintasi sungai yang boleh menghalang aliran air sungai.

Kemudahan seperti jalan raya yang rendah, tiang-tiang jambatan dan jambatan laluan pejalan kaki sebenarnya menghalang pergerakan air  dan sampah sarap yang melintasi sungai. Ini boleh dielakkan dengan menambahkan ketinggian sedikit daripada tebing sungai. Contoh terbaik yang boleh di tunjukkan adalah jambatan pejalan kaki yang terletak di belakang Stesen LRT Dang Wangi.

4)     Membina tembok yang kukuh yang selari dengan tebing sungai yang mana mempunyai dasar sungai yang agak rendah.

Langkah ini sama fungsi seperti ban yang bertindak sebagai penghalang dan mengawal tahap paras air sungai daripada berlakunya limpahan air sungai. Contohnya di Taipei, Taiwan tembok setinggi 5 meter tinggi telah dibina berhampiran dengan sungai di kawasan perumahan dan kawasan komersial (perniagaan dan perkhidmatan).  Oleh itu,tembok ini juga boleh di aplikasikan di Sungai Gombak dan Sungai Klang khususnya di kawasan banjir di pusat Bandar dengan membina tembok dengan ketinggian yang tertentu selari dengan tebing sungai tersebut. Ia juga sekaligus dapat mengukuhkan benteng sungai berkenaan.

5)                 Pelan Tindakan penebatan banjir

Langkah komprehensif ini mula di tubuhkan pada 1973 lanjutan daripada kejadian banjir kilat besar yang berlaku pada tahun 1971 di Kuala Lumpur. Ia di kenali sebagai Rancangan Tebatan Banjir Lembah Sungai Klang yang meliputi hanya sungai utama seperti Sungai Klang, Sungai Gombak dan Sungai Batu yang menelan belanja sebanyak RM 265 juta. Kini pelbagai agensi kerajaan telah melaksanakan satu langkah kawalan banjir kilat yang semakin meruncing ini seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui projeknya iaitu :
i) Kolam Takungan Air seperti Kolam Takungan Banjir di Kolam Batu, Kolam Jinjang, Kolam sri Johor dan di kawasan tadahan Sungai Damansara. Usaha ini juga dapat menyimpan air dalam kolam-kolam tersebut yang kemudiannya dilepaskan perlahan-ahan supaya banjir tidak berlaku.

ii) “Terowong Bestari “ (SMART) yang merupakan terowong bawah tanah berukuran garis pusat 11.8 meter yang dibina bermula dari Kampung Berembong berhampiran dengan Hospital Gleneagles (Jalan Ampang) dan melalui beberapa bahagian bandaraya sebelum berakhir di kolam simpanan air di Taman Desa berhampiran Jalan Klang Lama. Aliran sungai di sebelah hulu Kuala Lumpur akan dilencongkan melalui sebuah terowong atau tunnel yang melalui satu sistem kolam sebelum ianya dilepaskan secara perlahan-lahan ke dalam sungai di sebelah hilir kepada Pusat Bandar Kuala Lumpur. Ia mempunyai dwifungsi iaitu :
a)     Mengalihkan aliran air yang berlebihan ketika banjir kilat dari Sungai Klang dan Sungai Ampang bagi mengelakkan air masuk ke pusat Bandar.
b)     Laluan alternative bagi mengatasi kesesakan lalu lintas khususnya bagi pengguna jalan raya dari arah selatan ke pusat Bandar.

6)     Pengekalan dan Peningkatan fungsi ekosistem sungai :

                        Selain pembinaan infrastruktur sungai dan perparitan, aspek alam sekitar penting dalam mengurus dan mengawal bencana alam ini. Langkah ini boleh di lakukan melalui pemulihan dan penyelenggaraan tadahan tanah tinggi, tanah lembap dan tebatan sungai (Zaini Ujang,2007). Walaupun kejuruteraan sungai dapat meningkatkan keupayaan sailran sungai dan system perparitan untuk menampung dan mengalirkan air semasa curahan hujan maksimum, ia perlu tindakan secara menyeluruh yang mana dengan melestarikan fungsi ekosistem dapat meningkatkan keluasan kawasan hijau bagi mengurangkan impak aliran air permukaan mengalir deras ke system pengairan. Semakin banyak pokok maka keupayaan penyerapan dan penakungan hujan yang tinggi dan sekaligus mengurangkan aliran air permukaan (Zaini Ujang, 2007).

7)     Meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dan pihak pemaju :

Antara punca berlakunya banjir kilat adalah daripada sikap manusia itu sendiri yang mana tidak menjaga kebersihan dan kualiti alam sekitar seperti membuang sampah dalam sungai menyebabkan saluran tersumbat dan sekali gus menghalang air sungai untuk mengalir. Ini kerana sampah sarap yang masuk ke dalam Sungai Klang berjumlah 60 hingga 80 tan setiap hari. Selain itu, program yang menuntut kesedaran masyarakat perlu diadakan khususnya dalam penyebaran maklumat dan ilmu tentang bencana dan tahap keterdedahan masyarakat terhadap bencana berkenaan. Langkah awal boleh di ambil terhadap golongan muda dalam bidang pendidikan sejak di bangku sekolah lagi.

Selain itu juga, perubahan pada dataran banjir khususnya untuk pembinaan rumah di kawasan rendah dan kawasan berbukit perlu di elakkan kerana di kawasan rendah mudah terdedah kepada banjir dan di kawasan berbukit terdedah kepada projek pembangunan yang tidak terkawal (Jones et al. 1998). ini kerana jenis dan kedudukan rumah di percayai menjadi kepentingan dalam menentukan tindakan yang effektif dalam kejadian banjir samaada di kawasan perkampungan ataupun di bandar.

8)     Penguatkuasaan Polisi:
Dalam mengawal kejadian banjir kilat ini pihak kerajaan telah mewujudkan beberapa polisi yang menjadi panduan kepada pihak pemaju atau pihak tertentu sebelum menjalankan sebarang bentik pembangunan khsusnya menjaga dan memulihara alam sekitarnya. Kini pihak kerajaan telah mula memperkenalkan pendekatan pengurusan sungai sebagai satu langkah kawalan yang penting. Oleh itu, penguatkuasaan perlu di lakukan agar perkara dan kesan yang telah di kaji dapat di elakkan. Contohnya adalah Manual Saliran Mesra Alam (MASMA) dan Integrated River Basin Management (IRBM).
Text Box: KESIMPULAN :



Setelah melihat kepada kejadian banjir kilat yang berlaku di Kuala lumpur pada Jun 2007 melihat kepada penyebab yang dominan yang mana  factor pembangunan yang semakin pesat tanpa pengawalan persekitaran dan aktiviti manusia seperti pembuangan sampah sarap ke dalam system saliran terutama di Sungai Klang dan Sungai Gombak. Jika factor ini tidak di kawal maka ia akan menambahkan lagi keamatan bencana ini yang sudah di anggap sebagai bencana alam yang biasa.
Gambar : Empangan terbesar di dunia iaitu Empangan Three Gorges (China) yang terpaksa dilepaskan selepas mencecah paras bahaya.

Selagi ada perancangan baik bagi mengawal segala kebarangkalian terhadap banjir kilat ini maka segalanya perlu di laksanakan dengan sempurna dengan adanya kerjasama daripada semua pihak yang bertanggungjawab. Oleh itu, memastikan bahawa langkah mengawal kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur perlu lebih  komprehensif dan memberi perhatian yang lebih serius terhadap keseimbangan dan pembangunan yang lebih mampan yang mana di samping mengkoordinasikan pendekatan secara struktur.



BIBLIOGRAFI :

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.2001. Laporan Banjir Kilat di Kuala Lumpur pada 19 Disember 2000.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.2001. Laporan Banjir Kilat di Kuala Lumpur pada 26 April 2001.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.2001. Laporan Banjir Kilat di Kuala Lumpur pada 29 Oktober 2001.

Jabatan Meteorologi Malaysia, Petaling Jaya.

Khairulmaini Osman Salleh (2004), Perception of and Adaptation to Flood Hazard – A Preliminary Study, 25 (2) pg 99-106. Malaysian Journal of Tropical Geography, Department og Geography, University of Malaya.

Noor Ezlin Ahmad Basri, Sakinah Noordin & Shahrom Md. Zin (2003), Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan Persekitaran 2003, m/s 469 – 474. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Paridah Anun Tahir & Anuar Md. Ali (2007), Preparation of Flood Hazard Map for Kota Tinggi Town. East & South East Regional Seminar on Flood Hazard Mapping.

Zaini Ujang, Berita Harian (13 Jun 2007). Minda Lestari : 4 Strategi Lestari Fungsi Ekosistem Elak Bah. http // : www.bharian.com.my





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGURUSAN SUMBER AIR

SISTEM HIDROLOGI:   TAJUK:  PENGURUSAN SUMBER AIR .   Konsep Pengurusan Sumber Air .         Mengikut Oridorn (1977) dalam bukunya “ Water Manegment ”, “…..Pengurusan sumber air melibatkan perancangan,analisis,penilaian,penggunaan,impak dan  ramalan terhadap sumber-sumber air secara sistematik, cekap optimun tanpa membazir untuk menjamin bekalan air kepada pengguna sentiasa bersih dan berterusan …”. Justeru sumber-sumber air yang ada di sesuatu kawasan mestilah diuruskan dan diselenggarakan dengan bijak bagi memenuhi keperluan manusia masa kini dan akan datang tanpa mengorbankan alam sekitar. Oleh sebab itu konsep pembangunan sumber air yang lestari amat dititikberatkan.   Kegunaan Sumber Air : Kajian Kes, Malaysia .                          KEGUNAAN           CONTOH 1.  Kegunaan Domestik;  kegunaan/keperluan harian penduduk seperti memasak,membasuh/mencuci,mandian dll. Bekalan air  dari pada JBA, air sungai,tasik,perigi dl

MODUL PENGAJARAN GEOGRAFI 1

MODUL PENGAJARAN GEOGRAFI 1 ( ALAM SEKITAR FIZIKAL) OLEH : MAZLAN BIN JUNAIDI BAB 1 : SISTEM BUMI 1.1            KONSEP SISTEM – satu set angkubah yang berstruktur   dan saling berinteraksi antara satu sama lain untuk mencapai keseimbangan. 1.2           Terdiri daripada 3 sistem ; i)                terpencil – mempunyai sempadan yang   nyata dan tidak membenarkan kemasukan bahan dan tenaga. ii)              Tertutup – mempunyai sempadan yang membenarkan kemasukan tenaga sahaja tetapi menghalang kemasukan bahan. iii)           Terbuka – tidak mempunyai sempadan yang nyata dan membenarkan kemasukan tenaga dan bahan melalui sempadannya. 1.3           Bumi sebagai satu sistem – merupakan sistem tertutup yang membenarkan kemasukan tenaga daripada matahari tetapi tidak membenarkan kemasukan bahan. 1.3.1      Terdiri daripada komponen biosfera ( tumbuhan dan haiwan), atmosfera ( gas-gas di   udara), hidrosfera ( badan-badan air ), litosfera ( lapisan per

5R

Apa itu 5r Ramai yang tidak mengetahui apa itu 5r. Adakah rakyat di Malaysia tahu   betapa pentingnya 5r itu untuk menyelamatkan alam sekitar. 5R adalah singkatan kepada ‘rethink’ (fikir semula), ‘repair’ (baik pulih), ‘reuse’ (guna semula), ‘recycle’ (kitar semula) dan ‘reduce’ (kurangkan). Tahap kesedaran rakyat Malaysia perlu dipertingkatkan bagi membolehkan rakyat Malaysia membantu dalam mengurangkan pembuangan sisa pepejal yang semakin bertambah sejajar dengan pertumbuhan penduduk di negara ini. Oleh itu rakyat Malaysia disarankan agar dapat mengamalkan sikap 5R ini bagi membantu mengurangkan penggunaan sumber asli secara lebih berkesan. Penerapan konsep 5R dalam mempromosikan amalan gaya hidup lestari memberi cabaran yang amat besar sekiranya semua golongan dari pelbagai peringkat tidak digembling. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT) pada tahun 2007, lebih 15,000 tan sampah dihasilkan di Malaysia pada setiap hari dan ian