TERATAI yang turut dikenali sebagai pokok lili air adalah tumbuhan terbiar yang mempunyai nilai komersial apabila digunakan untuk menghiasi taman yang mempunyai kolam.
Tumbuhan ini lazimnya mampu hidup subur pada paras suhu tidak melebihi 20 Celsius. Bahang matahari yang terlalu panas boleh menyebabkan tumbuhan itu layu dan terbantut.
Bagaimanapun, kebanyakan pemilik taman tempatan yang mempunyai kolam buatan atau semula jadi kurang mendalami teknik penanaman mengikut keperluan dan kesesuaiannya.
Penanaman teratai menjadi suatu kemestian untuk menghiasi setiap kolam yang dibina di halaman rumah penduduk di Kemboja, Vietnam dan Thailand. Ia seolah-olah melambangkan tradisi dan kebudayaan hidup rakyat negara itu.
Antara pokok teratai yang mendapat pasaran dunia ialah lysimachia, nuphar luteum, potamogeton natans, lemna minor, hydrocharis (boleh diperoleh di negara ini), eichhornia crassipes (keladi buncis), nymphoides peltata dan nympheae stellata (Sri Lanka).
Masyarakat Thailand terutama penduduk di Songkla dan Haadyai begitu peka terhadap perkembangan dan keperluan seni taman sentiasa menghargai tanaman ini sebagai tumbuhan air yang menguntungkan apabila menembusi pasaran antarabangsa.
Sumber alam yang hidup di kawasan becak terutama di pinggir sawah dan kawasan berpaya dijaga dengan baik termasuk melakukan pembajaan supaya spesies teratai yang mampu menyerlahkan keindahan daunnya.
Tanam dalam pasu
Kaedah konvensional iaitu menanam teratai di dalam pasu yang ditenggelamkan di dalam kolam kecil di anjung atau laman rumah. Ada juga yang menanam dalam pasu besar berair. Kreativiti terbukti berjaya apabila kaedah yang diwarisi sejak turun temurun itu membuahkan hasil yang baik.
Pokok dapat membiak, hidup subur dan mengeluarkan bunga yang menarik berbanding hidup secara terbiar dan terapung di sawah padi. Dengan menggunakan pasu berukuran 20 sentimeter (sm) tinggi untuk menanam induk teratai dengan kandungan tanah lumpur setinggi 10 sm dan lapisan batu kecil setinggi lima sm pada paras bawah pasu sebelum direndamkan di dalam kolam empat persegi berbentuk seperti kolah.
Anak pokok ditanam menggunakan kaedah sama dengan menggunakan pasu berukuran 10 sm dengan kandungan tanah lumpur setinggi lima sm di mana paras bawah pasu diletakkan batu kecil setinggi 3 sm sebelum direndam ke dalam air yang cetek.
Kaedah sama turut digunakan untuk menanam pelbagai jenis rumput air yang dikenal pasti dari keluarga lalang untuk dijual bagi keperluan hiasan kolam.
Kaedah ini boleh dilihat dengan lebih dekat di pusat pembenihan bunga di negara ini di mana baka teratai dijual dengan menggunakan pasu yang sudah ditutup lubang bawahnya dan sentiasa digenangi air.
Ulasan